MERANCANG KEWANGAN

Ramai yang tak sedar akan susunan kepentingan perancangan kewangan.  Ada yang terus nak buat pelaburan.  Ada yang fokus kepada simpanan.

Sebenarnya dalam merancang kewangan masa depan kita kena pentingkan perlindungan.  Perlindungan yang saya tekankan di sini adalah takaful yang melindungi kematian dan hilang upaya kekal.  Bukan kad perubatan.

Takaful yang mengutamakan hibah disebabkan kematian atau pampasan untuk kehilangan upaya kekal adalah sangat penting berbanding dengan kad perubatan.  Ini kerana sekiranya kita tidak mempunyai kad perubatan, kita masih lagi boleh menggunakan khidmat hospital kerajaan.  Namun sekiranya kita meninggal sebelum kita sediakan simpanan yang mencukupi untuk keluarga kita sehingga tempoh mereka mampu berdikari, atau simpanan yang cukup untuk melangsaikan hutang kita maka kita terpaksa membuatkan hidup keluarga kita dalam kesusahan.

Andainya kita ditimpa hilang upaya kekal akibat dari penyakit ataupun kemalangan dan masih hidup, kita masih mempunyai hutang yang kita harus selesaikan. Kemungkinan besar kita memerlukan wang tambahan untuk menampung perbelanjaan perubatan kita seperti kos ubat-ubatan, vitamin, susu untuk orang sakit, lampin orang dewasa dan sebagainya.  Sedangkan ketika itu kita sudah hilang punca pendapatan akibat dari kecacatan kita. Ketika itu anak-anak masih membesar dan perlukan perbelanjaan perubatan. Keluarga kita juga dibebani dengan kos penyelenggaran kenderaan, kos minyak kereta untuk menghantar kita membuat rawatan, bil air, elektrik dan sebagainya. 

Sekiranya ini terjadi, maka kita terpaksa menggunakan wang simpanan kita.  Sekiranya wang simpanan kita tidak mencukupi, kita terpaksa mengeluarkan pelaburan kita yang kemungkinan besar ketika itu belum balik modal dan terpaksa dijual pada harga yang lebih rendah dari nilai pelaburan. Namun, kalau kita mempunyai perlindungan takaful, segala kos berkenaan kita masih boleh tampung menggunakan wang pampasan yang kita terima. Sebab itulah jumlah perlindungan yang ideal untuk kita adalah 10 tahun dari jumlah gaji tahunan.  Sekiranya jumlah gaji kita setahun RM60,000 maka kita perlu mempunyai perlindungan sebanyak RM600,000.

Simpanan juga amat diperlukan dan perlu didahulukan berbanding dengan pelaburan.  Ini kerana kita perlu mempunyai jumlah kecairan yang agak tinggi untuk menampung perbelanjaan kita pada masa-masa yang kita perlukan.  Contohnya kereta rosak, belanja sekolah anak-anak, memperbaiki rumah dan sebagainya.  Ini kerana kita seboleh-bolehnya elak diri dari mengambil wang dalam pelaburan.  Nilai wang dalam pelaburan boleh berganda dengan lebih cepat dan juga mempunyai risiko untuk turun.  Seandainya dalam keadaan pasaran yang rendah, maka kita boleh tunggu pelaburan kita naik kembali dan gunakan wang yang ada dalam simpanan kita untuk tujuan-tujuan lain ataupun untuk membuat tambahan dalam pelaburan sebagai dollar-cost-averaging (DCA) atau purata nilai kos ketika harga pasaran merudum untuk mempercepatkan pulangan pelaburan kita.

Jadi ingat, lindungi pendapatan kemudian baru buat simpanan dan melabur.